Bosan yang diabai

Sabtu, Disember 26, 2009

Aku ini jenisnya orang yang mudah bosan dengan sesuatu yang lama. Pernah juga hal ini kami aku gaduhkan dahulu. Ya, mungkin juga komitmen ialah suatu perkara yang tidak sesuai dengan aku lagi, buat masa ini.

Hampir setiap hari aku melungsuri blog ini. Ah, bosan pula lihat warna hitam putih yang entah sudah berapa lama tidak diedit. Cuba menyelongkar template-template lama dalam gajet besar aku di rumah ini, hampa sungguh bila aku sudah memindahkan kesemuanya ke dalam gajet kecil. Dan yang paling membuatkan aku ingin menangis, aku lupa bahawa aku pernah memformat gajet kecil ini. Oh, apakah?!

Tidak mengapalah, walau bosan, masih lagi comel untuk dilihat, bukan? (sambil sengih-sengih comel juga).


Hei kamu, kamu,dan kamu, sudah bosankah belum?


Read more...

sepetang bersama adnil

Ahad, Disember 20, 2009

Sedar tidak sedar, mahu genap setahun aku jumpa dia. Ya, pada bulan yang sama kali terakhir aku *berfoya-foya, juga bersama dengan dia. Haih, sudah setahun. Rasa baru seperti dua minggu lepas.










Ya, dua minggu yang sebenarnya setahun itulah sebenarnya aku diam seperti duduk dalam kepompong kubikel kecil yang menghalang pandang dunia aku. Ya, mahu tambah lagi, seperti katak bawah tempurung. Inikah dunia yang dikatakan bekerjaya? Malas mahu berfikir. Rasa seperti mahu menyalahkan diri sendiri. Mengapa tidak aku uruskan sebaiknya, bukan? (Baru sahaja menonton video motivasi pada minggu lepas. Ya, "there're no 'they', but 'me', it's me!").

Sudah lama juga tidak gunakan pengangkutan awam. Cuma sangat sedih, rakyat Malaysia sehingga kini masih lagi kurang siviknya. Hei kamu, kamu, dan kamu, boleh tingkatkan kesedaran sivik kamu? Boleh? Terima kasih.

Baik, berusahalah!!




*kata ganda ini jangan kamu salah tafsir, kamu tahu maksud aku bukan?

Read more...

undurkan putaran dunia, kembali seperti dahulu

Jumaat, Disember 04, 2009

Tentang tajuk entri, agak-agak kalau betul-betul boleh, apa akan jadi? Huh, tidak boleh tidak, sah tidak boleh.

Mahu kembali seperti dahulu, tidak perlu fikir laporan yang perlu disiapkan esok, hutang-hutang yang perlu diminta bayaran, surat-surat amaran yang perlu ditandatangani, bunyi deringan telefon yang menyakitkan telinga serta hati, putaran jam di atas pintu masuk yang sangat bergerak perlahan, err... lagi, kamu tambah apa?


Rindu sama kamu semua. Ha, yang kamu, rindu aku tidak?






Betul-betul tidak boleh kah? Uh, sangat kecewa.


Foto ihsan daripada Ashiken.


Bila perhatikan kembali muka-muka di dalam foto, mahu gelak berguling-guling rasanya; muka masing-masing seperti masih lagi mumaiz.

Read more...

Aku masih hidup

Isnin, November 30, 2009

Aku kembali sudah. Hei kamu, jangan sangka aku sudah tiada! Er, atau aku sahaja yang punya sangka begitu. (Haih, memang pemalu betul aku ini, bukan?)

Sudah mahu setengah tahun blog ini bersawang lagi berkulat. Baik, aku bukan mahu hipokrit di sini. Terus terang aku katakan bahawa aku agak malas rajin mahu menaip entri terbaru. Cerita? Memang banyak. Tapi disebabkan kemalasan kerajinan yang melampau-lampau ditambah pula ketiadaan-akses-kepada-internet menjadikan blog ini bertambah kulatnya.

Baik, kamu, kamu, dan kamu, aku tahu kamu tunggu aku, bukan? (terserlah sikap pemalu aku ini). Ada masa nanti, aku cari idea untuk entri baru ya?

Untuk Nana ialah Tujuh, aku doakan kebahagiaan kamu, maaf dipohon banyak-banyak daripada kamu. Ya, jangan kamu putus asa, kamu tahu doa aku yang terbaik senantiasa ada untuk kamu, terima kasih tidak terhingga. Ya, aku tahu, kamu tetap kamu, berusahalah!!! Jangan lupa untuk terus senyum ya!!

Hei Amira, sudah aku kata aku akan kembali, bukan? Mengapa? Tidak percaya? Semoga kamu berjaya ya! Oh ya, bila mahu dibelanja? (atau membelanja?)

Ya, lagi seorang, aku tahu kamu tunggu aku juga, bukan? Hei Nurul, sudah jadi orang Johor pula kamu ya? Baik, aku akan tunggu kamu di tempat yang boleh aku lihat warna sebenar kamu (er, macam tidak sedap pula bunyinya). Boleh?

Ha, tidak lupa juga kepada yang sudah maju, Nad. Kamu sudah maju? Tahniah! Kamu tanya aku? Ya, aku jawab: sedang maju. Boleh? Baik, berusahalah dengan kemajuan kamu ya!! (minuman untuk badan itu jangan kamu lupa minum ya!).

Nah, siapa lagi? Ha, tidak lupa juga kepada kamu, kamu, dan kamu. Oh ya, kamu juga! Baik?


Sudah tukar rangkaian jalur lebar. Harap yang terbaik. Baik!!




Hei, kamu, kamu, dan kamu, berusahalah ya!!

Read more...

di sebalik kubikel kecil itu

Sabtu, Jun 27, 2009

Sedang dalam proses menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru. Agak ganjal janggal, namun sudah mula membiasakan diri. Ya, tidak lari daripada kos lepas. 90 peratus hidup aku mula dihabiskan di kubikel itu yang aku sudah rasa seperti rumah kedua aku. Ya, sudah mula lakukan seperti rumah sendiri.

Nah, cerita di sebalik kubikel-kubikel yang sudah semestinya kamu sendiri tahu (melainkan kamu tidak faham atau tidak pernah ambil tahu, aku tidak peduli), amat streotaip. Apa yang aku perhatikan seharian, dengan orang yang sama, cerita yang sama, masalah yang sama, semuanya yang sama. Jadi apa yang tidak samanya?

Beza situasi cuma aras kedudukan, portfolio, skop kerja, dan perasaan tidak puas hati kamu selain perasaan tidak sabar dengan melihat jam di dinding pintu masuk sama ada mahu keluar makan tengah hari dan pulang ke rumah. Aku akan biasakan diri dengan situasi ini semua. Ya, sedang berusaha!

Cuma satu yang aku amati, pandang dunia aku semakin sempit dek halangan kubikel itu. Oh, menjengkelkan Aku mahu pecahkan, boleh?





Hei, kamu, kamu, dan kamu, boleh tidak?







Susah mahu cari kerja waktu sekarang ini, bukan?
Baik!! Aku bersyukur amat!

Read more...

dahulu dan kini: di mana?

Sabtu, Jun 13, 2009

Suatu masa dahulu aku punya cita-cita. Ya, sudah semestinya mahu yang baik-baik sahaja.Tidak tahu pula aku kalau ada di antara kamu yang sememangnya bercita-citakan suatu yang tidak baik. Nah, seperti kamu jugalah. Mahu jadi yang itu, mahu jadi yang ini, semua juga mahu. Mahu juga yang semua-semua itu.

Bagi aku, itu semua hanya cita-cita mikro sahaja, tiada yang makronya. Mengapa? Ya, bila kita lihat orang lain berjaya, kita pun mahu berjaya, ada suatu anjakan dalam paradigma kehidupan yang menjadi pemangkin dalam usaha kita. Aku selalu dapat yang itu, yang pemangkin itu. Sampai bila mahu berada pada aras dan takuk yang lama? Aku mahu bebas, dari itu semua.

Itu dahulu, sekarang tidak seperti dahulu. Ingat bukan, fantasi dan mimpi adalah bukan realiti. Sedarlah kita di dunia yang realiti, benar-benar, bukan cubaan!

Namun kini, kita di mana ya? Di mana usaha kita? Masih berada dalam landasan cita-cita, impian, juga fantasi suatu ketika dahulu?

Bila aku fikir-fikir kembali, seperti aku telah sesat. Entah di mana.





Isnin depan proses metamorfosis aku benar-benar di tahap yang kritikal.
Sedang berusaha untuk sesuatu yang baru dan berusaha juga melembut serta membelitkan lidah.

Doakan aku supaya dipermudahkan urusan ya!

Terima kasih!!

Read more...

hei kamu, boleh tolong aku? 3

Khamis, Mei 28, 2009

Disebabkan rakyat-rakyat di dalam rumah aku yang masing-masingnya terlampau dan sangat malas rajin mahu memasak, kami agak senang untuk makan sahaja di luar. Sampai masa, hakikat kekeringan walau habuk di dalam dompet akan deselusuri falsafah serta sistem operasinya.

Baik, terus kepada pragmatik entri ini, ketika makan, tabiat yang sukar aku mahu dibuang: melihat karenah orang lain menjamu selera. Ada yang makan dengan sopan, ada makan dengan gelojoh sangat dan terlalu sopan, tidak lupa juga yang tidak lalu makan. Aku senang melihat itu semua. Kamu tahu mengapa? Itu semua membuatkan selera aku bertambah. Haha!!

Aku tidak kisah langsung dengan cara kamu makan. Tapi, aku sangat jaki bila melihat cara makan yang satu ini: makan dengan tidak menutup mulut ketika mengunyah. Ya, sangat menjengkelkan.

Aku bukan mahu katakan bahawa cara aku makan adalah yang terbaik, tapi aku seperti kamu juga. Namun, paling tidak pun, tutup mulut apabila mengunyah.


Ya, mungkin akan nampak lebih comel!



Untuk awek tadi yang telah dipanah dengan jelingan asmara-dana-yang-mengatakan-bahawa-aku-jengkel-dengan-kamu, walau siapa pun kamu, entri ini khas untuk kamu.



Ingat, mak cakap kalau makan, tutup mulut ketika kunyah, dan jangan lupa, habiskan makanan, kalau tidak mahu gigi diketuk dengan sudu (lihat sahajalah gigi aku yang seakan-akan rongak bahana sudu hadiah mak aku dahulu - terima kasih mak!!).


Oh, teringat iklan khidmat masyarakat Kedai Flamingo: "Food is precious, do not waste".

Read more...

kita selalu harapkan yang terbaik, tapi hakikatnya?

Rabu, Mei 27, 2009

Dalam kehidupan, kita mesti mahukan sesuatu yang terbaik. Tipulah kalau kamu tidak mahu. Tapi tidak semua yang kita dapat, atau secara realitinya tidak seperti yang kita mahu, tidak seperti yang kita impikan.

Dalam proses metamorfosis kehidupan aku, aku juga mahukan yang terbaik. Proses pembinaan kerjaya dalam hidup tidak seperti yang aku harapkan. Ya, sekali lagi, mahukan yang terbaik. Tapi, lazimnya tidaklah sebegitu. Kadang-kadang, kelakar juga kerana memang dari dahulu begini. Ah, sama sahaja.

Minggu lepas, baru dapat satu lagi jawapan:-






Haih, sampaikan semacam ada suatu suara yang berbisik:-

"ko ni bodoh la!"


















Ya, aku bodoh kurang pandai.

Read more...

wangi

Ahad, Mei 24, 2009

Cuba kamu fikir, adakah apa-apa yang keluar dari tubuh manusia yang berbau wangi?


aku: Bob, cube ko cakap dengan aku, ape bende yang kluar dari badan manusia yang baunye wangi.

bob: Ade ke? Semuanye busuklah!

aku: Ha, kalau yang takde bau adelah.

bob: Ape die?

aku: Air mate.

bob: Yeke?...

aku: Iyelah.

bob: Ko pernah cium bau air mata ko ke?

aku: ???!!!!(speechlees)




Siapa yang pernah cium mata air air mata, beritahu aku boleh?



Hei, kamu, kamu, dan kamu, agak-agak kamulah kan, apa bau mata air air mata ya?

Read more...

cemburu

Tajuk entri ini sudah sinonim dengan manusia, bukan? Ya, manusia. Tidak sempurna sifatnya, sering mengutamakan kehendak melebihi keperluannya. Sering mengabaikan kos lepas yang sedia menanti.

Melihat keliling, ada sahaja yang tidak cukup.

Apa? Kamu, tidak? Tidak perlu hipokrit.


Ya, aku seorang yang mudah cemburu. Ah, letak belakang soal hati. Pokok pangkal entri ini bukan berkaitan dengan soal cinta itu.

Cemburu dengan sekeliling aku. Mahu itu, mahu ini. Itu pun mahu, ini pun mahu. Haih, sama seperti kamu, tidak pernah cukup.

Tapi bila difikir kembali, sifat itu boleh jadi pendorong untuk aku. Kamu mengerti, bukan?

Maksud aku, untuk capai apa yang aku cemburu itu aku perlu berusaha. Ya, sifat itu mendorong aku untuk untuk berusaha.

Cemburu juga berkaitan dengan impian. Mahu jadi seperti itu, mahu jadi seperti ini. Haih, semua pun mahu. Ya, mahu berjaya.



Hei kamu, kamu, dan kamu, cemburu juga bukan?


Penat sudah aku.

Read more...

cuti!

Rabu, April 29, 2009

Blog ini akan direhatkan untuk sementara waktu disebabkan ketiadaan akses kepada internet.

Kesibukan menunaikan tanggungjawab sebagai pelajar serta persiapan untuk berpindah rumah membuatkan badan aku naik gatal-gatal.

Selain itu juga aku sedang menyiapkan diri tentang perkara metamorfosis itu.

Oleh itu, kesinambungan blog ini secara rasminya mengalami hiatus!


Hei, kamu, kamu, dan kamu, terima kasih ya!!

Ada rezeki, jumpa lagi, tidak kisah secara maya atau realiti.



Baik, berusahalah!!

Read more...

metamorfosis

Selasa, April 28, 2009

Hidup perlukan perubahan bukan? Entah, aku tidak tahu sama ada aku sudah bersedia untuk berubah atau pun belum. Haih, bersedia atau tidak, itu bukan persoalannya. Hidup telah pun berubah.

Perubahan yang yang paling ketara, aku akan memasuki alam pekerjaan. Bukan belum pernah pun sebelum ini. Ya, walau masih belum bersedia, entah, kosong fikiran aku. Tapi semua itu dulu bagi aku bukan serius. Sekarang, keseriusan mula menebal dalam diri aku. Ya, tanam dalam diri, aku akan menempuh suatu perubahan yang serius.

Kadangkala aku cemburu dengan orang lain. Ah, itu satu tajuk untuk entri yang akan datang.

Pengalaman mengatasi segalanya. Ya, selalu juga aku dengan frasa ini. Tapi berbaloikah semua pengalaman aku yang lepas itu? Cukupkah ilmu aku di dada ini?

Ah, letak belakang itu semua.




Baik, kepada kamu-kamu yang sudah tamat pengajian, jumpa kamu semua lagi ya!




Baik, teruskan usaha. Berusahalah!!!

Read more...

antara dua jenis penat ini, mana satu yang kamu pilih?

Jumaat, April 24, 2009

Minggu ini agak meletih serta memenatkan aku. Biasalah, bila persediaan yang dilakukan hanya pada saat-saat akhir. Jadi, aku perlukan tumpukan segala kudrat yang ada. Oh, masih adakah?

Ya, bagi kepenatan anggota tubuh badan, aku tidak nafikan, aku tidak tahan. Tapi bagaimana pula dengan penat otak atau fikiran?

Aku perlu gunakan fikiran aku untuk menghafal, memahami, memikirkan, dan lain-lain lagi. Tangan aku pula sudah naik kebas kerana menulis rata-rata selama dua jam berturut-turut. Haha, tengkuk pula semakin sakit kerana asyik menunduk ditambah lagi dengan kesalahan posisi tidur. Adakah jenis pengajian yang tidak memerlukan peperiksaan?

Haih, untuk meneruskan penaipan entri ini pun aku sudah tidak mampu, penat.


Baik, terus kepada tajuk asal entri, jika kamu, mana satu yang kamu pilih?

Read more...

cuaca yang baik

Jumaat, April 17, 2009

Sudah lebih seminggu cuaca di Lembah Klang tidak seperti pada hari ini. Ya, aku boleh katakan sangat panas hari ini. Disebabkan kebahangan yang melampau, sehingga aku merasa kulit aku mahu terbakar.

Ya, seperti hari-hari sebelumnya, aku mengharapkan agar cuaca elok kerana perjalanan aku yang agak jauh hendak ke kampus. Tapi tidak, cuaca selalu hujan. Ketika itulah aku sangat mahu matahari terik bersinar. Namun tidak untuk hari ini. Apa yang aku mahu pula, adalah mendung.

Nah, sikap manusia bukan? Tidak pernah berpuas hati dengan apa yang diberikan. Sudah diberi itu, mahu yang ini. Sudah ada yang ini mahu yang itu pula. Tidak pernah cukup, tidak pernah senang dengan apa yang ada.


Baik, kamu pula, mahu apa lagi ya?

Read more...

jiran kepada jiran sebelah aku yang agak kacak lebih sedikit daripada aku

Penyelenggaraan terhadap jam biologi aku tempoh hari mungkin telah berjaya. Ya, seperti kata Sol, siang dan malam aku rasakan sangat atau mungkin aku boleh letakkan istilah agak panjang.

Kesemua tugasan sudah selesai, dan kini, tiada apa lagi yang boleh aku boleh jadikan alasan untuk menatap skrin leper di hadapan aku ini. Ya, untuk blog, mungkin tidak. Haih, agak bosan duduk di rumah.

Heh, sekali-sekala berjalan-jalan dengan jiran-jiran serumah pun seronk juga ya. Sambil-sambil membenchot.

Kamu pun tahu bukan, jiran-jiran aku semuanya agak kacak, tidak lupa juga agak busuk sedikit (ku tidak mengatakan banyak).

Kamu tahu apa yang paling menyeksakan ketika berada dalam kereta bersama-sama mereka? Ya, ketika kamu terhidu bau seperti najis bayi.

Hairul, dedikasi ini khas buat kamu:-


"wei, kentut kau bau cam taik baby!!"

*tuan punya angin yang menerangkan dengan jelas tentang bau tersebut.






Maaf, entri kali ini agak berbau busuk.

Read more...

kos lepas yang perlu dibayar

Rabu, April 15, 2009

Sudah lebih kurang sebulan, hidup aku seperti tidak terurus. Paling ketara sekali, pakaian aku semuanya semakin sempit (Bukankah sepatutnya frasa tersebut digantikan dengan "berat badan aku makin bertambah"; atau "badan aku makin membesar". Tapi, frasa tersebut lebih comel, bukan?).

Pada aku, itu semua tidak mengapa, besar-besar pun, comel juga bukan (tiba-tiba terasa geli)? Dan yang paling teruk bagi aku, bila jam biologi (biological clock) aku sudah tidak betul. Masa tidur umumnya, ialah masa untuk aku berjaga. Waktu tidur aku? Ya, sebaliknya.

Kebelakangan ini aku sering sakit kepala, yang membuatkan aku rasa tersangat mahu mencarut. Ya, mungkin itu kesan akibat jam biologi aku yang amat efektif.

Dan sekarang, aku sedang berusaha perbetul kembali jam biologi tersebut dan aku mahu sangat. Kamu mahu tahu mengapa? Sebab semalam aku buka peti surat, dapat bil utiliti untuk kegunaan elektrik. Ya, sungguh cantik nombor tiga angka sebelum titik sen itu.






Baik, sedang berusaha!

Read more...

mari temankan aku

Isnin, April 13, 2009

Semenjak dua ini aku diri aku diabdikan dengan komitmen aku yang sememangnya memerlukan aku meninggalkan semua ini. Ya, selesai sudah segala penantian aku selama ini.

Kekosongan idea dek kerana pemerahan otak serta tekanan terhadap emosi aku menjadikan aku ingin terkinja-kinja ketika ini. Tahu apa yang aku mahu lakukan?

Mahu seperti ini:-








Kamu, kamu, dan kamu! Mari temankan aku.

Read more...

Bertukar Lagi

Jumaat, April 03, 2009

Sudah aku bilang berkali-kali bukan? Aku mudah bosan dengan sesuatu. Tapi, aku belum bosan dengan kamu, ingat itu.

Ya, bosan sudah dengan template blog yang gelap, aku bertukar kepada yang sedikit cerah. Kenapa warna hitam dan putih sahaja? Kamu pun tahu maksud kedua-dua warna tersebut bukan?

Nah, dari yang ini:-





Kepada yang ini:-



Sempat mencuri sedikit dari masa-masa genting aku.



Haih, aku ini membosankan bukan?

Read more...

di mana kita? (kemas kini)

Sabtu, Mac 21, 2009

Suasana hati (mood) aku sekarang ini adalah menyiapkan segala tugasan yang telah sekian lama aku tangguh.

Salah satu tugasan yang perlu aku lengkapi adalah berkenaan dengan budaya popular masa kini. oleh yang demikian, aku telah memilih budaya blogging (memblog) sebagai kes kajian aku.

Ya, seperti biasa aku dahulukan dengan mencari maklumat tentang kes kajian yang telah aku pilih. Aku mulakan dengan meneliti sejarah blog (weblog). Masa inilah enjin pencarian Google merupakan sahabat baik aku.

Nah, sememangnya maklumat dalam bahasa Inggeris begitu banyak. Aku cuba pula dalam bahasa kita (bahasa Melayu).

Serius, aku terkejut. Kalau ada pun maklumat tentang sejarah blog dalam bahasa Melayu, hanyalah dipos dalam entri-entri web dari negera di seberang.

Cubalah cari maklumat tentang sejarah blog dalam bahasa Melayu dari halaman di Malaysia. Jumpa?




Dapat apa yang aku cuba ketengahkan di sini?
Sedangkan orang lain telah banyak mengkaji, membincang, mengolah tentang perkara di sekeliling, tapi kita pula bagaimana?

Bagi aku, pemikiran orang kita belum boleh dikatakan maju. tidak kisah dari aspek mana sekalipun.




Bagaimana dengan kamu?







sedikit kecewa kerana tiada maklumat yang didapati dalam bahasa sendiri.










*kemas kini



Telah aku jumpa sedikit info tentang apa yang aku cari dari halaman di Malaysia. Tapi sangat sedikit. Itu pun berkenaan dengan iklan. Tapi aku harus bersyukur, bukan?

Read more...

aku yang membosankan 2

Khamis, Mac 19, 2009

Ya, aku ini memang membosankan.

Oleh kerana itu, aku mudah bosan dengan sesuatu.

Nah, akibat kebosanan dengan template blog aku, aku bertukar kepada yang baru.





Daripada yang ini:






Kepada yang ini:






Ya, aku ini sangat membosankan bukan?

Read more...

sedikit-sedikit. lama-lama jadi bukit

Selasa, Mac 17, 2009

Aku punya satu hobi iaitu mengumpul duit syiling.

Huh? Baik, aku tukar frasa, aku suka menabung duit syiling.

Entah apa mimpi teman serumah mengajak aku mengira syiling malam tadi.

Hei, aku punya lebih banyak dari kamu, Hairul!!





Inilah hasilnya!:-






Agak-agak kamu, berapa jumlah kesemuanya?

Read more...

telah aku sedar mengapa aku gagal

Sememangnya, dari dahulu lagi, aku sedang berusaha untuk menurunkan berat badan aku sedikit. Bukan, aku bukannya tidak bersyukur dengan apa yang telah Dia berikan kepada aku, tapi lebih kepada hendak mengelakkan atau menjauhkan dari penyakit.

Ya, kamu pun tahu bukan, terdapat pelbagai penyakit yang dikaitkan dengan obesiti. Nah, sekarang kamu sudah faham bukan, bahawa BMI (
Body Mass Index) aku sudah melebihi dari paras yang ideal. Aku cuma mahu menurunkan sedikit sahaja paras tersebut.

Bersyukur aku punyai teman serumah yang membelikan alat untuk mengempis perut. Boleh juga aku tumpang dua kaki menggunakan alat tersebut. Nah, ternyata bukan aku seorang sahaja yang sedang berusaha, beliau juga begitu. Baik, sama-samalah kita berusaha ya!

Sekarang, bila aku menyarung pakaian pada tubuh, baru aku sedar, baju dan seluar aku semakin mengecil (frasa paling tepat seharusnya "badan aku semakin membesar "). Dan sekarang, aku tahu, mengapa usaha aku selama ini (seperti yang telah ditaip di atas) tidak berjaya.

Pertamanya, hangat-hangat tahi najis ayam. Aku cuma konsisten menggunakan alat mengempis perut selama tiga minggu sahaja (sekurang-kurangnya tidak seperti si pembeli: dua hari sahaja). Entah, mungkin kemalasan telah menyelebungi diri daripada menggunakan alat tersebut.

Kedua, perihal pemakanan aku yang agak menyeramkan. Entri ini dihasilkan setelah aku sedari bahawa malam semalam aku menikmati makan malam sebanyak dua kali. Hei, kurang waras agaknya aku ini. Bayangkan, pukul sepuluh setengah malam aku keluar makan. Sajian aku waktu itu teh kosong ais dan nasi goreng. Pulang ke rumah, tidak sampai dua jam, seorang dari teman serumah (jika kamu membaca repekan ini: kamu tahu siapa kamu) pula mengajak untuk makan lewat malam (supper). Ya, air milo ais dan nasi lemak sepinggan berlaukkan peha ayam goreng berempah pula jadi sajian aku. Oh, apakah?

Ya, selain itu faktor-faktor lain juga mempengaruhi kegagalan aku.



Telah aku sedar mengapa aku gagal menurunkan berat badan.



Mak aku berpesan, jangan kedekut tentang hal makanan, nanti makanan aku kedekutkan halnya kepada kita.





Kesimpulannya, ya, aku akan berusaha. Jadi, berusahalah!

Read more...

sedarkah kita?

Ahad, Mac 15, 2009

Selalunya aku tidak ambil peduli tentang apa-apa jua yang tidak berkaitan dengan diri serta hidup aku.

Fikir-fikir kembali, kadangkala semua itu memberi kesan kepada aku.


Nah, kesimpulannya, kepada diri dan hidup aku.




kamu, kamu, dan kamu pula?







Bantulah planet kita!



Read more...

jiran sebelah aku yang kacak

Maaf, entri kali ini berbau agak kotor. Namun aku tetap mahu meluahkannya, kerana hidungku telah dinodai.



Apa yang membuatkan seseorang yang kentut buang angin kelihatan sangat teruk?

Kamu tahu jawapannya?











Sudah aku tahu!

Bila bau kentut angin yang dikeluarkan itu, amat mirip atau sangat seakan-akan bau tahi najis!







Jiran sebelah mejaku, dedikasi ini khas buat kamu.

"Bob, kentut kamu berbau tahi najis!".

Read more...

jati diri dan identiti

Sabtu, Mac 14, 2009

Selalu kita dengar istilah identiti (tidak tahu pula aku jika kamu tidak pernah mendengarnya). Kamu punya identiti bukan? Apa identiti kamu? Paling mudah kamu hendak menjawabnya adalah dengan menunjukkan kad identiti (kad pengenalan atau my card) kamu. Mengapa? Ya, sekurang-kurangnya, serba sedikit tentang identiti kamu ada di situ.

Bagaimana pula dengan jati diri? Kamu ada jati diri? Bagaimana jika suatu hari, datang seorang wartawan kepada kamu, bertanyakan adakah kamu ada dan apakah jati diri kamu? Boleh kamu jelaskan? Tidak semudah jika kamu ditanya tentang apakah identiti kamu, bukan?

Nah, seringkali kita samakan maksud kedua-dua istilah identiti dan jati diri. Pada halnya, kedua-dua istilah tersebut sama sekali berbeza maksud. Kamu tahu apa bezanya?

Banyak, dan kamu boleh fikirkan sendiri. Tidak faham? Abaikan.

Paling ketara sekali bezanya ialah kedinamikan maksud kedua-duanya.

Identiti boleh berubah, sebaliknya pula bagi jati diri, tidak dinamik. Dan yang paling penting, jati diri sememangnya tetap.

Mengapa kita sering menggunakan istilah identiti yang juga merupakan istilah pinjaman daripada identity, sedangkan kita sudah punya istilah jati diri? Signifikannya, jati diri lebih tetap dari identiti.

Cuba tanya pada diri kamu, adakah kamu punyai identiti? Sudah tentu ya, bukan? Bagaimana pula dengan jati diri?



Hei kamu, kamu, dan kamu, boleh tolong jawabkan?




Aku?

Aku mahu jati diri, namun aku perlukan identiti.

Read more...

tua dan muda

Jumaat, Mac 13, 2009

Kadangkala bila bercampur dengan orang-orang tua (tidak kisah kamu takrif kata tua bagaimana, tapi maksudnya di sini, orang yang umurnya lebih daripada kita) sekeliling kita, ada juga bagusnya. Ya, mereka punya pengalaman yang lebih daripada kita.

Disebabkan terdapatnya jurang sosial antara yang tua dan muda, adanya perbezaan tidak dapat kita nafikan.

Antara salah satu perbezaan tersebut ialah bahasa. disebabkan kedinamikan berbahasa dan kepelbagaian aspek dialek seperti jargon, argon, vulgar, dan sebagainya, perbezaan ini berlaku.


Berdasarkan pengalaman aku, setiap minggu aku akan mendengar bahasa seorang tua (walau tua tapi ilmu penuh di dada) yang agak berbeza dari bahasa yang aku ujarkan seharian. Baik, aku jelaskan lagi, dari segi penggunaan istilahnya:

  • masaelah (masalah)
  • univorsiti (universiti)
  • goreng pisang (pisang goreng)
  • syeikh (syer)
  • keropek (keropok)
  • ceri (ciri)
  • tiliti (teliti)

Aku yakin dan pasti bahawa aku tidak salah dengar kerana telah aku dengar istilah-istilah tersebut. Ditambah lagi, bukan sepasang telinga sahaja yang mendengarnya. Ya, mungkin banyak lagi istilah-istilah yang aku belum berkesempatan lagi hendak mendengarnya berulang kali.


Hei, kamu tahu, apa yang bermain di fikiran aku setiap kali mendengar istilah-istilah pelik itu?

Ya, aku fikir disebabkan aku ini masih bodoh, mungkin aku akan terbiasa dengan semua istilah-istilah pelik itu bila aku sudah pandai nanti.





Hei, kamu, kamu, dan kamu, sudah tahu bukan?

Read more...

obsesi

Khamis, Mac 12, 2009

Aku cuma mahukan sifat itu sekarang ini. Entah kenapa telah sekian lama ia hilang. Aku tidak pasti adakah diri itu memang tiada sedikit pun sifat itu?




Tapi kenapa aku sering rindu kepadanya? Rindu bila ia datang. Ah, bila mahu datangnya?



Serius, aku perlukan sifat itu untuk jangka masa ini.



Kerajinan, di mana?





Sesungguhnya aku sedang mencari kerajinan bagi diri ini yang sememangnya kemalasan.

Read more...

tamadun yang tiada sivik

Jumaat, Februari 27, 2009

malam tadi boleh dikatakan bahawa nasib aku yang kurang baik. bayangkan, sedang kamu berjalan ke arah kereta bersama teman-teman serumah, di tepi bangunan rumah (rumah flat), sesuatu jatuh dari atas terkena badan kamu. itulah yang berlaku kepada aku. haih, bermacam sumpah seranah yang keluar dari mulut aku.

kamu tahu apa yang jatuh itu? plastik yang didalamnya terdapat nasi basi dengan keadaannya yang berair. haih, sangat-sangat dan teramat geli untuk dikenangkan.

apa untungnya dengan berbuat demikian? hei, kalau hendak jadi nakal sekalipun, tidak perlu bermain dengan nasi yang sudah basi. sah ini bukan kali pertama kejadian sebegini berlaku. dua tiga minggu sebelum ini kereta teman serumah aku juga dibaling dengan nasi. dan aku pasti dan yakin benda jijik tersebut dibaling dari tingkat yang tinggi.

hei, aku bukan hendak mengadu nasib malang aku di sini. tetapi hendak menerangkan adanya lagi makhluk-makhluk yang punyai pemikiran yang kolot, kotor, keji, dan sewaktu dengannya.

hei, apa guna hidup bertamadun tetapi tiada kesedaran sivik?

kepada pengkhianat tersebut, nah, makanlah kamu sumpah aku!





agak-agak, kalau aku berjalan sedikit lambat tadi, memang aku dapat makan nasi basi dengan percuma!

Read more...

khas buat kamu

Selasa, Februari 24, 2009

Ada yang mengatakan aku merepek di sini.

Aku langsung tidak peduli. Kenapa?

Ya, sekurang-kurangnya apa yang aku repekkan di sini ialah hasil sintesis akal fikiran aku sendiri. Bukan daripada kaedah salin tampal (copy paste).

Aku pernah menyatakan di sini bahawa aku tidak gemar membaca hasil seperti yang aku nyatakan di atas. Kenapa?

Ya, aku suka membaca hasil daripada idea-idea kamu sendiri. Jangan tanya lagi mengapa kerana sememangnya aku suka.

Ya, memang kadangkala apa yang kamu salin itu memberi info-info yang mungkin aku sendiri tidak tahu atau terlepas pandang.

Baik, aku boleh terima jika kamu memberi pautan (link) sumber info-info itu semua. Tapi, tidak perlu buat-buat tidak tahu.

Mungkin kamu selesa dengan plagiat dalam hidup kamu, dan aku langsung tidak peduli.

Nah, jika begitu, hidup ini memang perlu untuk meniru? Hei, sekurang-kurangnya jadi diri kamu sendiri. Bukan aku hendak katakan bahawa diri aku sudah bagus sangat.


Sudah, aku penat. Tidak ingin pun beri komen terhadap orang lain. Lebih baik aku betulkan diri aku sendiri.





Ya, fikiran aku penuh ketika ini.

Read more...

falsafah atau falsampah?

Ahad, Februari 22, 2009

Kamu tahu apa itu falsafah. Ya, seringkali dikaitkan dengan slanga "falsampah".

Hei, ketika entri ini dicatat, fikiran aku lagi suku mahu penuh, bukan separuh penuh seperti biasa.

Jika ada orang bertanya kepada kamu, "Apakah falsafah hidup anda?", boleh kamu jawab ketika itu juga?

Ya, untuk menjawab soalan itu dengan praktikal dan efektifnya, bahagian-bahagian otak kamu harus faham semantik falsafah pada konteks hidup kamu. Baik, sememangnya kamu faham maksud falsafah bagi kamu, dan kamu tahu apa maksud hidup kamu. Seterusnya, kamu fikir apa falsafah hidup kamu.

Nanti, cuba fikir kembali, adakah hidup kamu punyai falsafah?
Faham? Tidak? Baik, abaikan.







Hei kamu, kamu, dan kamu, apakah falsafah hidup kamu?

Read more...

hari ini merupakan hari cuti sedunia

Sabtu, Februari 21, 2009

ya, hari ini hari sabtu, hari untuk mencari rezeki menampung kehidupan yang tidak seberapa ini. oh, apakah ini?

ah, baru lepas Asar, ada masa lagi hendak memporak-perandakan template blog yang membosankan ini. haih, template blog yang dahulu telah musnah. apakah ini?

........


ya, sudah siap berpakaian, tag nama aku gantung sehias mungkin, mana tahu ada yang terpikat nanti, oh, apakah eau de toilette itu aku sembur secukup bau. baik, bersedia! kuda hijau itu aku tunggang sesedap laju.

.........

tiba-tiba pandangan aku jadi kabur, aku tidak lagi mampu melihat jauh di depan. punggungku berasa basah. oh, badanku juga telah basah sebenarnya. hujan!!!




baik, hari ini merupakan hari cuti sedunia bagi aku!







heh, mahu tukar url, boleh?

Read more...

aku yang membosankan

Entah kenapa aku senang berasa bosan. Ya, bosan dengan semua perkara.

Kadang-kadang bila fikirkan balik, kelakar.

Sekarang ini, aku bosan dengan apa yang aku buat sekarang. Faham? Sekarang aku sedang menaip entri baru pada blog. Ah, aku bosan dengan blog ini.

Haha, ada fikiran hendak tukar url. Boleh?


Bila difikir-fikir semula, aku bosan dengan diri aku. Tahu apa maksudnya?
Diri aku membosankan. Ya aku ialah orang yang membosankan.


Oh, apakah ini?






Hei kamu, aku ini membosankan bukan?

Read more...

mahu begini, boleh?




mahu petik sebegitu, boleh? haih, setakat ini hanya mampu memetik kod base. itu pun Joi yang ajar.

nak, nak, nak!!

boleh tidak?

Read more...

hidup ini memang kejam 3

Isnin, Februari 16, 2009

seperti kebiasaan, rata-rata yang bergelar pelajar, seperti aku, punyai alahan kepada tugasan. ya, buat dalam masa-masa yang terakhir (last minute)

esok mahu diserah, lihat jam di dinding, pukul 11 malam, masih awal.

(berperang secara maya bersama teman-teman serumah)

lihat jam di dinding, sudak pukul 2 pagi. baik! mula menyiap tugasan.

..........



ya, sudah siap! sambil lihat jam di dinding, pukul 4 setengah pagi.
klik print document pada aplikasi office word. haih, aku belum pasang (install) driver pada sistem operasi aku. baik, mula mencari di sesawang sana dan sini.

ya, berjaya mencari! baik, mula memuat turun, selesai! ya, siap dipasang (installed). haha, baik, dengan senang hatinya, aku klik pada print document sekali lagi. ops, lupa meletak kertas kosong.
ya, siap diletak.

............


aku lupa, dakwat pada katrij aku sudah kering (sambil melihat jam di dinding: lagi 15 minit pukul 5 pagi).




hidup ini memang kejam!

Read more...

nilai ekonomi dan nilai sosial: mana yang lebih utama?

Jumaat, Februari 13, 2009

hasil analisis yang boleh dikatakan agak lembap akibat pemproses data di fikiran yang sememangnya lambat untuk menanggap sesuatu, pandangan entri ini hadir. haih, ayat pertama lagi sudah datang merepek.

semakin lama, kehidupan kita semakin maju, boleh dikatakan moden (berbanding zaman prakolonial dahulu), taraf kehidupan juga semakin tinggi. akibat kemodenan yang dikejar selama ini, kehidupan juga semakin dipengaruhi oleh materialistik gabungan ideologi kapitalis. betul bukan?

tidak faham? abaikan.

ya, mungkin agak merepek, tetapi inilah hakikat kehidupan kita. sejak zaman prakolonial, hinggalah pascakolonial, masyarakat sering mengabaikan nilai ekonomi dalam kehidupan. apa yang dikejar? ya, masyarakat lebih mementingkan nilai sosial? kenapa? tepuk dada kamu, tanyalah selera sendiri.

kalau diberi pilihan menjadi orang gaji dan pekerja kilang, mana satu yang akan kamu pilih?

kerja di kilang bukan? nah, sudah nampak tidak? kenapa tidak menjadi orang gaji sahaja? makan, pakaian, sara hidup, dan lain-lain di tanggung majikan. upah atau gaji kamu (dalam lingkungan lima ke enam ratus ringgit) boleh disimpan sahaja. kerja di kilang? ya, pengangkutan (transportation) kamu sehari-hari, sewa rumah, makan, pakaian, dan lain-lain lagi semuanya harus kamu tanggung sendiri. cuba congak (upah dan gaji termasuk bayaran lebih masa lebih kurang seribu setengah), semua itu dibandingkan dengan pendapatan kamu, sudah tentu mengalami defisit (perbelanjaan melebihi pendapatan) bukan?

ya, sudah pasti kerja di kilang menjadi keutamaan (priority). kenapa? profil kerjaya lebih tinggi dari orang gaji bukan?

ya, kini semuanya mahu berprofil tinggi. lihat sahaja nama pekerjaan ditukar: orang gaji kepada pembantu rumah; pekerja kilang kepada operator pengeluaran; kerani kepada pembantu am rendah. ya, semuanya berbunyi canggih (sophicicated) bukan? dengan tujuan mahu meninggi profil kerjaya tersebut. tapi harus diingat, kos lepasnya, nilai ekonomi akan diabaikan.













mana satu yang lebih penting? nilai ekonomi, atau nilai sosial?



hei kamu, kamu, dan kamu, yang mana satu?





jika kamu hadir ke kelas petang tadi, kamu akan lebih jelas. itulah untungnya ke kelas (walau ia agak membosankan).

Read more...

aku sedang dilema

Khamis, Februari 12, 2009

mengeluh untuk minggu yang memerlukan aku untuk lebih banyak berfikir. hendak atau tidak, buat atau tinggal, mula atau tangguh, pergi atau ponteng, dan macam-macam lagi.

ya, semuanya melibatkan pilihan, dan apabila adanya pilihan maka akan wujudlah kos lepas. sangat memeningkan kepala. ya, telah diserang hendap oleh sakit kepala: akibat kurang tidur. padan muka aku, siapa yang ajar minum kopi semasa waktu untuk tidur (minuman jenis ini akan menyebabkan aku tidak dapat tidur untuk suatu jangka masa: apakah?)?

aku hendak dia, tapi apakah aku sudah sedia? tidak, belum aku puas lagi, betul-betul belum puas. tapi aku tidak mampu nak mengambil kos lepasnya jika aku tidak mahu. ya, dengar-dengar, peluang hanya datang sekali. tapi tidak bermaksud tidak akan datang, bukan. tapi masalahnya, bila lagi peluang sebegitu hendak datang lagi?

haih.. comel sungguh dia!

hati ini hendak akan dia sangat-sangat, sangat-sangat mahu!
tapi fikiran ini meletakkan penghalang dengan menyatakan bahawa kesediaan itu belum ada. haih.. haruskah aku mengeluh sebegini?



kadangkala, amat menyakitkan hati jika membuat sesuatu yang bukan kita mahu, tapi kadangkala juga, apabila buat sesuatu yang kita hendak, tidak menjadi seperti yang kita mahu, menyakitkan hati juga bukan?



aku ingin mengeluh lagi: aku sedang dalam dilema!










baik, berusahalah!!

Read more...

aku benci bila... 3

Selasa, Februari 10, 2009

maaf, ketika ini suasana hati (mood) aku tidak elok akibat kesensitifan panca indera menghidu aku.

pernah tidak, sedang kamu menikmati udara yang nyaman (tidak kiralah semantik nyaman pada kamu bagaimana), tiba-tiba terhidu sesuatu bau pelik. ya, sehingga menusuk ke lubuk hati, membuat trakea kamu bercabang tiga, dan bronkiol kamu terasa hendak meletup: bau badan.

ya, bau badan yang bagi aku kurang enak (ada juga yang berbau enak bukan? ops, di lain entrilah ya!).

haih! kenapa ya? kenapa tidak disembunyikan bau itu. siapa yang suka menghidu bau tersebut?

hei kamu mamat-mamat yang kuat berpeluh, wang saku kamu tidak cukup untuk membeli deodaran (deodorant)? amboi, beli tambah nilai telefon bimbit untuk kamu berambu-ramba dengan awek-awek kamu boleh pula (nasib baik aku tiada). cuma aku syorkan, jangan beli jenama dashing kerana tidak tahan lama (pengalaman semasa sekolah rendah).

baik, yang kamu, minah-minah pula, aku tahu, tidak elok untuk memakai wangian sehingga menarik perhatian, tapi tidak salah bukan menutup keaiban diri (semantik di sini bukan hipokrit)? bagi mereka-mereka yang terlebih memakai pula, aku malas hendak mengata lebih, kerana mukus aku sudah lali keras bila tercium bau kamu yang terlebih wangi.





baik, berusahalah!!











aku pelik, kenapa idea entri aku yang asal, bila sudah ditaip menjadi idea yang lain? merepek.
baik, berusahalah!


Read more...

ini aku

Jumaat, Februari 06, 2009

entah kenapa aku semacam berasa nak buat entri macam ini. kenapa ya? abaikan.

dua hari yang lepas aku sempat bersembang secara dalam talian dengan ain. ya, dari situ, aku dapat tahu satu perkara. ya, perkara yang aku benar-benar ingin tahu: pandangan orang lain terhadap aku. ya, bagi aku, secara pukul ratanya, itulah tanggapan terhadap aku.

orang yang tidak kenal dengan aku akan mengatakan bahawa aku ini sombong orangnya. haha, agak kelakar. pandangan orang bukan? bagi aku, kalau berjumpa dengan orang yang aku tidak kenal, aku juga akan berpandangan bahawa orang itu sombong. kenapa, sebab kamu tidak bertegur sapa. gilakah hendak sesuka hati menegur orang?

ya, mereka-mereka itu tidak mahu rapat dengan aku. atau, mereka-mereka itu tidak menyukai aku. tidak, aku langsung tidak peduli. kalau ada yang mahu rapat, aku juga, kalau ada yang tidak mahu, silakan. sekali lagi, aku langsung tidak peduli.

ya, ini diri aku, bukan diri kamu, bukan juga diri orang lain, juga bukan diri mereka. kenapa? aku mahu jadi diri aku.

ah, merepek sahaja.








hei, ini diri aku.
kamu? aku tahu itu kamu.

Read more...

hutang

Khamis, Februari 05, 2009

entah kenapa, baru sekarang aku terfikir, hidup ini tidak pernah lepas dari berhutang. tidak kiralah berhutang apa sekalipun. dan setiap hutang, harus dilangsaikan bukan?

sejak dari kecil, kita berhutang. ya, dari keluarga,ibu, ayah, adik beradik; saudara-mara; guru-guru; kawan-kawan sekeliling; dan macam-macam lagi. ya, macam-macam hutang yang kita ada. pernah kamu fikir? ya, aku fikirkan begitu.

sudah menginjak dewasa, lagilah banyak kita berhutang. lebih-lebih lagi selesai belajar, hutang dari PTPTN sudah mula perlu dijelaskan. lainlah kalau kamu dapat biasiswa. tidak pun, dari JPA. wah, kayalah kamu. hei, kamu juga!

ya, sudah bekerja bukan? sudah mampu beli motorsikal, kereta, rumah. berhutang juga bukan? tidak kiralah berapa lama perjanjian hutang tersebut. ya, lagi hutang kad kredit. tidak habis-habis berhutang. sampai bila?





ada di antara kamu, kamu, dan kamu yang sudah selesai melunaskan hutang? bagus!


jadi, berusahalah!!

Read more...

beza orang Melayu dengan yang lain 2

Khamis, Januari 22, 2009

kalaulah, jika ditakdirkan, kamu mendapat hadiah wang tunai sebanyak RM 1 juta ringgit, apa yang akan kamu buat dengan wang itu?

ya, beli macam-macam. macam-macam yang kamu inginkan selama ini. selama ini kamu impikan, akan kamu beli bukan? ya, jangan hipokrit. betul bukan?
mahu beli kereta, pergi haji, bantu saudara-mara terdekat, bersedekah. ya, ada juga yang mahu kahwin. betul?

ya, sememangnya kamu orang Melayu. sungguh, orang Melayu.


tapi, jika kita tanya orang lain, aku ambil contoh orang Cina, mesti jawapan mereka agak berbeza dengan orang kita.

ya, beli loteri, buka perniagaan, beli perusahaan, tambah modal perniagaan dan macam-macam lagi. betul betul bukan?


ya, aku tidak nafikan, mungkin juga ada orang Melayu yang akan memberikan jawapan seperti orang Cina. betul, mungkin juga ada orang Cina yang akan memberikan jawapan seperti orang Melayu. tapi, pukul ratanya tidak begitu bukan?




dari contoh di atas, kita boleh nampak pemikiran, cara hidup, dan pandang dunia masyarakat. orang Melayu, jika mendapat duit, kerjanya lain tidak, menghabiskan sahaja. orang Cina pula, akan berusaha supaya duit yang didapati itu berkembang biak.

nampak tidak? tidak? keliru? tidak faham? abaikan.











hei kamu, kamu, dan kamu, jika kamu mendapat hadiah wang tunai sebanyak RM 1 juta ringgit, apa yang akan kamu lakukan dengan wang itu?

Read more...

politik monyet

Selasa, Januari 20, 2009

seminggu dua ini aku seronok memerhatikan gelagat anak-anak muda yang baru hendak berkenal-kenal dengan salah satu aspek dalam kehidupan sosial bermasyarakat. ya, selain aku sedih mengenangkan lakhnat-lakhnat sana yang suka bermain dengan bom keatas saudara-saudara aku. tapi entri kali ini berkenaan dengan persekitaran aku kini.

ya, kalau duhulu, semasa disekolah, kalau hendak bercinta, orang akan kata "cinta monyet". jadi, aku samakan peribahasa tersebut dengan keadaan sekarang. ya, kalau hendak berpolitik semasa belajar pula, samalah seperti "politik monyet", bukan?

ya, "politik monyet". kadangkala terasa kelakar melihat gelagat-gelagat sedemikian. ah, kadangkala sedih juga, perkara yang kecil, kamu besarkan. menipu, memfitnah, semuanya ada. ya, ada yang takbur, riak. macam-macam lagi yang boleh dilihat.

tidak kiralah kamu mengikut aliran kanan, hatta kiri sekalipun, kamu, kamu, dan kamu, tetap sama. ya, sama. memperjuangkan manifesto-manifesto kamu yang kadangkala tidak masuk akal, yang aku kategorikan sebagai kelakar. yang kanan, aku lihat, tidak putus-putus menindas. sampai bila? yang kiri pula, asyik menentang. sampai bila? ya, kiri dan kanan, sampai bila?

aku? tidak, aku bukanlah kiri, dan kanan. ya, aku tetap aku.

tapi, sekurang-kurangnya, kamu, kamu, dan kamu berusaha bukan? bagus. tidak salah kerana kamu berusaha belajar tentang aspek ini. menjadi pemimpin, kalau tidak ada, siapa yang hendak memimpin dan mendengar suara yang dipimpin, bukan?


tapi aku kelakar, walau aku tidak pernah terlibat "politik monyet" ini sepanjang tiga tahun aku terjebak ke gedung ilmu itu, sekurang-kurangnya aku tahu, kamu, kamu dan kamu yang kanan dan kiri telah silap. ya, semuanya silap. kenapa harus ada kanan dan kiri? apakah ini?

tidak faham? abaikan. tapi lebih baik kamu rujuk Perkara 2 dalam Notis Pemilihan Wakil Pelajar. ya, sebab itulah aku katakan bahawa politik kamu semua itu ialah "politik monyet".



ya, dan paling penting sekali di sini, pandangan aku kuat mengatakan bahawa kamu, kamu, dan kamu, hipokrit. tidak setuju? abaikan. kerana ini pandang dunia aku.




hei, bukan untuk menentang mana-mana pihak, tapi sekadar mahu melontar pandangan. kelakar bukan? banyak sudah aku merepek.










baik! hei!! kepada kamu, kamu, dan kamu, berusahalah ya!!

Read more...

rindu lagi

Jumaat, Januari 09, 2009

pernah berasa rindu?

ya, rindu sesuatu, rindu seseorang.

ya, jika begitu, perkara yang kita rindu itu mesti kita pernah rasa, pernah ada, pernah kenal bukan? jika tidak, itu bukan rindu. tapi teringin.

ya, rindu dan teringin punya kaitan antara satu sama lain.

ah, aku rindu lagi. bukan, bukan rindu dia, tapi rindu yang lain. ingin kembali ke masa lalu.







haih, merepek sahaja.










hei kamu, kamu, dan kamu. sedang rindu?

Read more...

masih belum puas

Sabtu, Januari 03, 2009

entri ini tercetus daripada pengalaman aku sendiri. ya, setelah mendapat apa yang telah aku idamkan selama ini. syukur kepada Dia.

tapi aku masih belum puas, ya, hendak lagi yang lain, yang lebih bagus. apa belum cukup lagikah?

hei, aku manusia, kamu juga, bukan


ya, manusia tidak pernah berasa puas dengan apa yang dimiliki.

lazim, bila kita sudah dapat sesuatu, kita hendak sesuatu yang lebih lagi. ya, lebih lagi, bukan?

sama seperti impian. bila sudah tercapai, kita impikan yang lain pula, yang lebih dari yang sebelumnya. kadangkala bagus, impian mendorong kita mencapai sesuatu.


ya, aku belum puas. tidak mahu hiprokrit.












hei kamu, kamu, dan kamu, pernah puas dengan sesuatu?

Read more...

Blog Archive

Add to Technorati Favorites
Page copy protected against web site content infringement by Copyscape

Status aku Kini

Berikan aku sedikit masa kerana masa aku kebanyakannya habis di kubikel kecil itu.

Masih juga mencari pandang dunia yang nyaman serta tenteram.

Tahu di mana?

Oh ya, hati ini sudah diisi, moga kekal kali ini.

  © Template blog ini telah di ubah suai secukup rasa oleh xmamatx dari Newspaper oleh Ourblogtemplates.com 2011

Kembali ke ATAS