telah aku sedar mengapa aku gagal
Selasa, Mac 17, 2009
Sememangnya, dari dahulu lagi, aku sedang berusaha untuk menurunkan berat badan aku sedikit. Bukan, aku bukannya tidak bersyukur dengan apa yang telah Dia berikan kepada aku, tapi lebih kepada hendak mengelakkan atau menjauhkan dari penyakit.
Ya, kamu pun tahu bukan, terdapat pelbagai penyakit yang dikaitkan dengan obesiti. Nah, sekarang kamu sudah faham bukan, bahawa BMI (Body Mass Index) aku sudah melebihi dari paras yang ideal. Aku cuma mahu menurunkan sedikit sahaja paras tersebut.
Bersyukur aku punyai teman serumah yang membelikan alat untuk mengempis perut. Boleh juga aku tumpang dua kaki menggunakan alat tersebut. Nah, ternyata bukan aku seorang sahaja yang sedang berusaha, beliau juga begitu. Baik, sama-samalah kita berusaha ya!
Sekarang, bila aku menyarung pakaian pada tubuh, baru aku sedar, baju dan seluar aku semakin mengecil (frasa paling tepat seharusnya "badan aku semakin membesar "). Dan sekarang, aku tahu, mengapa usaha aku selama ini (seperti yang telah ditaip di atas) tidak berjaya.
Pertamanya, hangat-hangat tahi najis ayam. Aku cuma konsisten menggunakan alat mengempis perut selama tiga minggu sahaja (sekurang-kurangnya tidak seperti si pembeli: dua hari sahaja). Entah, mungkin kemalasan telah menyelebungi diri daripada menggunakan alat tersebut.
Kedua, perihal pemakanan aku yang agak menyeramkan. Entri ini dihasilkan setelah aku sedari bahawa malam semalam aku menikmati makan malam sebanyak dua kali. Hei, kurang waras agaknya aku ini. Bayangkan, pukul sepuluh setengah malam aku keluar makan. Sajian aku waktu itu teh kosong ais dan nasi goreng. Pulang ke rumah, tidak sampai dua jam, seorang dari teman serumah (jika kamu membaca repekan ini: kamu tahu siapa kamu) pula mengajak untuk makan lewat malam (supper). Ya, air milo ais dan nasi lemak sepinggan berlaukkan peha ayam goreng berempah pula jadi sajian aku. Oh, apakah?
Ya, selain itu faktor-faktor lain juga mempengaruhi kegagalan aku.
Telah aku sedar mengapa aku gagal menurunkan berat badan.
Mak aku berpesan, jangan kedekut tentang hal makanan, nanti makanan aku kedekutkan halnya kepada kita.
Kesimpulannya, ya, aku akan berusaha. Jadi, berusahalah!
0 orang telah merepek balas:
Catat Ulasan